Mahkamah Tetapkan 4 Hari Untuk Kes Maria Saman Jamal
Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan empat
hari untuk mendengar saman fitnah oleh Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah
terhadap Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Peguam Maria, Melissa Sasidaran berkata tarikh perbicaraan
ditetapkan pada 9 Oktober hingga 12 Oktober.
Di samping itu, hakim perbicaraan Datuk Mohd Zaki Abdul
Wahab juga menetapkan 22 Mei ini untuk pengurusan kes.
“Kedua-dua pihak perlu memuktamadkan dokumen yang akan
digunakan semasa perbicaraan, jadi pengurusan kes ini adalah untuk memaklumkan
mahkamah mengenainya,” katanya kepada Malaysiakini selepas pengurusan kes hari
ini di hadapan hakim.
Pada 27 Disember tahun lalu, mahkamah meminta Maria yang
memfailkan saman terhadap pemimpin gerakan Baju Merah itu yang menuduh NGO
berkenaan mempunyai kaitan dengan militan IS meninjau kemungkinan penyelesaian.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu
diberitahu bahawa Jamal masih belum mengemukakan sebarang cadangan atau tawaran
kepada Maria.
Maria menyaman Jamal atas dakwaan BERSIH diresapi elemen
kumpulan bersenjata IS.
Jamal membuat kenyataan itu dalam sidang media pada 28
September tahun lalu dan laporan polisnya berkaitan perkara itu pada 4 Oktober.
– Malaysiakini
Ulasan
Catat Ulasan