Demi Anak-Anak, Isteri Sanggup Diam Didera Suami.
PETALING JAYA: Zaharah (bukan nama sebenar) kini menjadi
sukarelawan membantu wanita yang ditimpa nasib sepertinya suatu ketika dulu,
dipukul dan dikasari suami.
Beliau bergiat aktif dengan beberapa NGO yang membela nasib
wanita, antaranya Women’s Aid Organisation (WAO), selain daripada Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tidak lama selepas berkahwin beberapa tahun lalu, Zaharah
dimasukkan ke hospital kerana dipukul suami.
Menceritakan kepada FMT, Zaharah berkata dia melarikan diri
mencari perlindungan dengan WAO.
“Di sana saya mendapat kaunseling dan berkenalan dengan
ramai wanita yang senasib dengan saya, malah ada yang lebih teruk keadaannya
dan seperti menuju jalan buntu.
“Ketika itu saya tekad untuk mengumpul semangat dan bangkit
semula, demi anak-anak,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Zaharah merupakan sebahagian daripada beribu-ribu kes
keganasan rumah tangga di Malaysia setiap tahun.
Pada 2014, sejumlah 4,807 kes keganasan rumah tangga
dilaporkan, iaitu tertinggi sejak 2000.
Kajian bagi tempoh 2007 hingga 2011 oleh Pusat Penyelidikan
Wanita dan Gender (Kanita) di Universiti Sains Malaysia mendapati 9 daripada
100 wanita berhadapan keganasan rumah tangga dengan pasangan mereka.
Mungkin ia hanyalah angka, namun bagi wanita yang
menghadapinya, ia penderitaan yang amat besar.
Zaharah juga terpaksa mengambil langkah sendiri kerana
hubungannya yang renggang dengan keluarga kandungnya.
Mengemis di Masjid Negara
“Ia bermula ketika anak-anak kami masih kecil, apabila suami
terlibat dengan ajaran sesat. Semua duitnya dihabiskan kepada ‘tok guru’. Dia
juga terpengaruh dengan kawan daripada kumpulan itu sehingga ketagih judi.
“Rumah dan kereta terpaksa dilelong. Kami tiada wang nak
makan, sehingga saya terpaksa bawa anak-anak mengemis di Masjid Negara,”
katanya.
Beliau tidak lagi ingat bilangan laporan polis yang
dibuatnya, atau berapa kali berulang-alik ke pejabat agama – ada kalanya
bersama suami – untuk sesi kaunseling.
Sehinggalah polis yang mengendalikan kesnya mencadangkan
beliau berlindung di WAO.
“Suami saya seorang yang baik, tetapi berubah selepas
terjebak dengan ajaran itu. Demi anak-anak dan untuk memberi pengajaran kepada
suami, saya perlu ambil tindakan drastik – meminta cerai dan meninggalkan
rumah,” katanya.
Ketika wawancara FMT bersama Zaharah, ibu kepada dua anak
berusia 9 dan 8 tahun itu dilihat seperti mana-mana ibu lain, berulangkali
menegur mereka “tidak boleh duduk diam”.
Zaharah menceritakan seorang lagi anaknya meninggal dunia
dalam kemalangan beberapa tahun lalu, yang juga hampir meragut nyawanya.
Tidak kira latar belakang
Keganasan rumah tangga terjadi kepada semua golongan, tanpa
mengira latar belakang dan ekonomi.
“Ia mempunyai pelbagai dimensi dan lebih menjurus kepada
kawalan emosi,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan
Penguatkuasaan JKM, Sulaimah Daud.
“Namun tidak dinafikan keluarga dan pengalaman semasa kecil
banyak mempengaruhi… keganasan sering dikaitkan dengan pendedahan awal terhadap
kekerasan dalam keluarga pelaku,” katanya kepada FMT.
Setakat Oktober tahun lalu, JKM mengendalikan 719 kes
keganasan rumah tangga, meningkat berbanding 2015 dengan 667 kes.
Tetapi Sulaimah berkata peningkatan itu menunjukkan
kesedaran orang ramai mengenai kesalahan keganasan rumah tangga dan membuat
laporan, termasuk melalui “Talian Kasih” 24 jam yang disediakan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ambil masa sebelum bertindak
Kebanyakan wanita menghadapi keganasan rumah tangga
selalunya bertahan untuk tempoh yang lama, sebelum mengambil tindakan drastik.
Ini disebabkan faktor seperti anak dan tanggapan rumah
tangga sebagai “ikatan suci”, menurut WAO.
Laporan WAO 2015 berhubung kajian kes keganasan rumah tangga
menunjukkan 89 daripada 110 wanita berhadapan dengan masalah itu lebih setahun
sebelum berlindung dengan badan itu.
Laporan sama juga menyatakan 67 wanita pernah meninggalkan
rumah mereka sekurang-kurangnya sekali dan 22 lagi membuat percubaan lebih
daripada 5 kali, sebelum kembali kepada pasangan mereka.
“Wanita kembali ke rumah mereka atas pelbagai sebab – mereka
ingin memberi peluang kepada pasangan untuk berubah, takut tiada tempat tinggal
dan masalah kewangan, takut membesarkan anak sebagai ibu tunggal, atau takutkan
stigma sosial berkaitan penceraian,” kata laporan itu lagi.
“Bagi wanita yang menghadapinya, ini (lari daripada suami)
adalah langkah yang amat sukar,” kata Zaharah.
Zaharah kini sudah kembali bersama bekas suaminya selepas
terharu dengan bekas suami dan keluarga mertuanya yang menjaganya yang parah
akibat kemalangan, sehingga pulih sepenuhnya.
“Selepas meninggalkan ajaran sesat yang suatu ketika dulu
memporak-porandakan hidup kami, dia kembali menjadi dirinya yang saya kenali
sebelum berkahwin dulu,” katanya sambil berkata beliau kini menjadi pembuat
keputusan dalam keluarga.
Beliau mengakui ada wanita yang berhadapan masalah yang
lebih buruk selepas memberikan banyak peluang kepada pasangan mereka.
“Ada ribuan kes keganasan rumah tangga, namun semuanya
bergantung kepada keadaan masing-masing. Apa pun langkah yang diambil, kita
perlu ada kawalan penuh terhadap hidup kita,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan